SYED IBRAHIM SYED AHMAD

membina ummah

Biodata

 

 

Saya terpanggil untuk mengenali latar belakang Ahli Dewan Undangan Negeri  kami YB Dato’ Ustaz Syed Ibrahim bin Syed Ahmad. Selain dari saya mengamati diari kehidupannya secara dekat kerana perbezaan jarak umur dan kediaman kami yang tidak jauh, saya juga bertanya terus kepada saudara-mara serta rakan-rakan rapatnya. Saya juga merujuk kepada beliau sendiri bagi mendapat kepastian dalam hal-hal tertentu. Banyak kisah yang sering kami dengar dan teliti semenjak beliau kecil, keadaan dan liku-liku hidup yang mampu menjadi tauladan. Terkadang ada juga rasa sedihnya dan ada juga jenakanya. Disini saya cuba ringkaskan matan sejarah dan biodata beliau.

Dato’ Syed Ibrahim bin Syed Ahmad dilahirkan di Kampung Bukit Seding, Kuala Tekal, Temerloh, Pahang pada 18 Januari 1967. Beliau mendapat pendidikan awal rendah di Sekolah Kebangsaan Kuala Krau, Temerloh dan mengikuti persekolahan menengah di Sekolah Menengah Agama al-Khairiah, Temerloh. Kejayaan yang baik dalam pengajian ketika menuntut di Kuliah Sultan Abu Bakar, Pekan telah membolehkan beliau meneruskan pendidikan di Universiti al-Azhar, Mesir dalam pengkhususan Bahasa Arab dan beliau telah berjaya mendapat Sijil Bahasa Arab al-Azhar dari pengajian ini.

Semasa remaja,beliau tinggal bersama ibubapa tercinta dan menjalani kehidupan dalam suasana yang tidak mewah namun tidak juga terlalu susah. Walau bagaimanapun beliau sentiasa mendampingi dan mengikuti ayahnya untuk membantu mencari keperluan harian. Sekembali beliau dari sekolah, beliau juga menjalankan usaha bertani, berniaga serta membantu urusan rumahtangga. Suasana pembesaran sebegini telah membina jati diri yang kuat, peribadi yang mesra dan kesedaran yang kuat akan kepentingan keluarga dan keupayaan ekonomi.

Beliau telah mendirikan rumahtangga bersama Datin Sharifah Farunai Binti Syed Ahmad pada tanggal 26 Januari 1996 dan keluarga bahagia mereka telah dikurniakan dengan rahmat kehadiran tiga orang cahayamata iaitu seorang lelaki, As Sayid Muhammad Al Baqir dan dua perempuan iaitu As Sharifah Balqis dan As Sharifah Sehah. Beliau kini menetap di Kampung Bukit Seding Dato Sharif Ahmad, Temerloh, Pahang.

Penguasaan Bahasa Arab yang baik telah melayakkan beliau menjalankan tugasan sebagai Pembantu Pegawai Yayasan Pahang di Kaherah, Mesir pada tahun  1993-1996. Tugasan tersebut telah membawa beliau menyelami keperluan aspek pendidikan dan permasalahan yang dialami oleh pelajar-pelajar ketika itu.

Semasa di Al-Azhar juga beliau sempat mengambil pengajian secara Talaqqi. Diantara guru-guru beliau ialah Prof Dr. Taha Abu Qeris, Prof Dr Ibrahim Khuli, Prof Dr. Abdul Halim Hifni, Prof Dr. Abdul Munim Qiie, Prof Dr. Muhammad Aqiel Mahdaly, Dr. Ahmad Abdullah alKaff, Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim, al Alammah As Syaier Abdul Hadi al Ujail dan Habib Ali B Abdul Rahman al Jufri. Ini adalah sejumlah kecil dari ramai para guru yang pernah beliau temui dan mengambil faedah serta manfaat pengetahuan.

Sekembalinya beliau dari Mesir, beliau telah menjawat jawatan sebagai guru Bahasa Arab dan Agama di Sekolah Menengah Agama Darul Naim, Kuala Krau. Walaupun hanya dalam tempoh 3 tahun iaitu dari tahun 1997-2000 beliau menjalankan peranan sebagai guru, namun ia telah memberikan beliau sudut pandang yang berkekalan dalam hal-hal berkaitan agama dan pendidikan. Kecenderungan beliau terhadap ilmu dan pendidikan dimanfaatkan sepenuhnya. Beliau seterusnya mengambil tanggungjawab sebagai Pegawai Penyelaras Masjid Daerah Jerantut pada tahun 2000 sebelum meneruskan kecemerlangan kerjaya beliau sebagai Pegawai Khas kepada YAB Menteri Besar Pahang pada tahun 2001.

Dalam kesibukan waktu memenuhi tanggungjawab sebagai Pegawai Khas kepada YAB Menteri Besar, beliau masih secara konsisten bergiat aktif mengajar kitab dan berceramah di seluruh Pahang. Beliau juga sentiasa menerima undangan dari dalam dan luar negara untuk menyampaikan ceramah, membentang kertas kerja dan berdiskusi ilmu serta buku.

Sewaktu beliau menjawat jawatan sebagai Pegawai Khas Kepada YAB Menteri Besar, beliau telah berjaya menyusun dan mengimarahkan program keagamaan di negeri Pahang samada di peringkat Antarabangsa dan Kebangsaan serta forum-forum Ilmiah di peringkat Negeri. Seminar Penyatuan Ummah yang telah beliau aturkan berjaya mengundang 20 tokoh ilmuan antarabangsa yang melibatkan di antaranya kehadiran dan penglibatan Mufti Lebanon, Maghribi, Syria, Ulamak Al Azhar, Jordan, Arab Saudi dan Yaman.

Pada tahun berikutnya beliau sekali lagi berjaya mengatur seminar yang sama dan mengundang tokoh-tokoh ulama dari Yaman, Indonesia, Mesir dan Jordan. Usaha-usaha murni ini adalah sebahagian usaha beliau memperkembangkan Dakwah Islamiah serta semangat cinta ilmu di kalangan masyarakat Pahang.

Beliau juga berkebolehan yang baik dalam penulisan serta berusaha menulis dan menterjemah buku-buku berbahasa Arab. Antara buku-buku tulisan beliau ialah ‘Saat-Saat Mencari Anugerah Ilahi’ dan ‘Aqidah Islam’ . Antara buku-buku yang beliau telah terjemahkan adalah ‘Kitab Wasaiel Wusul karangan Syeikh Nabhani’ dan ‘Petunjuk Jalan Tariqat’ Karangan Imam al Haddad’.

Penglibatan beliau secara politik bermula sedari awal lagi. Beliau telah meniti suka-duka perjalanan politik bermula dari bawah dan Kini beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kerdau setelah memenangi Pilihanraya Kecil N28 Kerdau pada tahun 2011. Pada Pilihanraya Umum Ke-13 yang lalu beliau telah mengekalkan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kerdau. Sehubungan itu, beliau telah diberi kepercayaan oleh YAB Menteri Besar Pahang untuk dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah Dan Tugas-tugas Khas bermula tahun 2013. Tanggungjawab yang besar ini membolehkan penglibatan beliau lebih aktif dalam perkembangan Agama, Dakwah dan Pendidikan.

Beliau juga merupakan Ketua UMNO Cawangan Tekal serta memegang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau pada tahun 2013. Beliau juga telah dilantik Sebagai Ketua Penerangan UMNO Pahang serta mengekalkan tugas beliau sebagai Ahli Jawatankuasa Dakwah Kerajaan Negeri Pahang.

Sumbangan beliau telah mendapat pengiktirafan di peringkat nasional. Kebolehan dan kewibawaan beliau diperakui dan membolehkan beliau dilantik sebagai Ahli Panel Majlis Perundingan Islam (MPI) bagi Kluster Dakwah dan Pemikiran Islam mulai tahun 2016-2018. Penglibatan beliau sebagai Ahli Panel MPI ini membolehkan beliau memberi sumbangan secara terus dan lebih bermakna bersama pemikir-pemikir, cendekiawan-cendekiawan dan para profesional pelbagai bidang dalam memberi sumbangsaran dan khidmat bakti kepada masyarakat amnya dan penyebaran syiar Islam khasnya.

Beliau juga telah mendapat kurniaan pingat Ahli Mahkota Pahang (AMP) oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang pada tahun 2004, Ahli Mangku Negara (AMN) oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 2011 dan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang pada tahun 2014. Semua ini adalah sebagai tanda pengiktirafan kepada beliau yang telah bersama-sama rakan-rakan yang lain dalam berusaha sedaya upaya untuk berbakti kepada agama, tanahair, anak bangsa dan negara tercinta.

 

Tulisan: Cikgu Amri Kerdau

 

%d bloggers like this: